Tuesday, October 25, 2011

Khadaffi (sebutan sebenarnya) akhirnya mati secara tidak wajar. Sebagai pemimpin besar, mati di bawah kolong adalah sesuatu yang sangat aib. Tapi itulah nasib atau ketentuan tuhan yang tertulis di langit tinggi. Pemimpin yang perkasa boleh jatuh di tangan rakyat yang pernah diperintah, meski peranan yang terbesar adalah laknat NATO yang tidak pernah simpati kepada dunia islam.

Rakyat Libya telah membuat pilihan untuk negara mereka. Jangan sampai menjadi persis isteri aladdin yang sanggup menukar lampu ajaibnya yang kelihatan lusuh kerana terpikat dengan lampu ahli sihir yang kelihatan bersinar dan cemerlang.

Memang benar Khadafi zalim dan kejam pada musuh politiknya, tapi apakah tidak ada sekelumit kebaikan kepada rakyat LIbya untuk menyebabkan beliau dihormati dan dilayan sebagai pesalah yang ada harga diri dan kemanusiaan.

Khadafi!. Selamat Jalan. Tuhan pasti menghitung anda dengan keadilan yang tidak dimiliki oleh rakyat LIbya.

Thursday, August 25, 2011

Ramadan beransur pergi. Entah tahun depan kita punya kesempatan meraih segala kurniaan tuhan dengan saksama, entah tidak punya kesempatan bertemu ramadan lagi. Selalu kita merasakan dirugikan olah kelemahan diri sendiri kerana tidak mampu berpartisipasi sesempurna mungkin dalam ramadan ini. apabila ia berlalu, penyesalan menyelinap dan akhirnya sirna menjelang ledakan hari raya.

Kita jenis manusia yang penuh kelemahan, perlu mencari persahabatan untuk menjana diri, memohon kekuatan dari Allah agar kita dan ramadan bersatu, menyalami dan bergetar bersama ramadan!.

Thursday, July 14, 2011

Ketumbukan Bersih 2.0 berjaya mencapai cita-citanya, meski diraung, dijerit dan diugut dengan seribu senjata ketakutan. Hanya manusia pemberani mampu melihat jeritan serigala di rimba raya sebagai siulan margasatwa yang enggan tidur di sarang.

Derap langkah perjuangan menyusuri lorong dan gang seakan mahu bercerita, bahawa di bumi ini, padang kami tidak tenteram, tidak bersih, tidak nyaman. Padang kami penuh duri dan onak tajam. Padang kami penuh kerikil menggigit kaki. Padang kami penuh ular, kala dan jengking. Apakan daya kami hanya punya padang berbisa ini untuk bermain demokrasi bagi tanah air ini.

Bersih 2.0 hanya mahu memiliki sebuah padang demokrasi yang aman tenteram, salim dan bersih dari segala perkara yang boleh menyengat demokrasi. Buat semua. Buat semua bangsa, semua agama, semua parti, semua manusia pecinta demokrasi.

Bersih tidak pernah mencabar siapa-siapa. Bersih tidak pernah bercerita tentang bangsa atau agama sesiapa. Bersih hanya dambakan kebersihan pilhanraya untuk semua. Dan pastinya mereka yang menang dalam pilhanraya yang bersih dan suci kelak akan meraih kehormatan dan gengsi yang bermaruah. Dan rakyat akan tunduk dan patuh pada sebuah pilihan yang benar-benar adil dan berhukum.

Bersih 2.0 pasti ada Bersih 3.0 dan seterusnya selagi demokrasi tidak menjanjikan keadilan hakiki kepada setiap rakyat yang cinta damai di bumi bunda ini.

Tuesday, May 03, 2011

Kematian Osama, Teladan Buat Sang Anwar

Setelah bertahun-tahun si jahanam Amerika menjejaki Osama, akhirnya baginda dikatakan mati digempur oleh militer Amerika. Kalau lah tragedi ini benar, maka ummah Islam kehilangan seorang pahlawan terbilang yang tiada tandingannya. Walau pun dunia Islam mempunyai ramai ulamak dan ahli abid yang wiridnya " hidupku dan matiku untuk tuhan" tapi tidak ramai yang mengotakan pengakuan ini dengan tindakan gagah berani.

Tapi sang mujahid ini telah membuktikan bahawa dirinya, nyawanya demi untuk menghancurkan musuh islam al kubra. Yakni setan besar, kata Khomeini.

Osama dan gerakannya bergerak dengan sangat rahsia dan berhati-hati. Terlalu tidak mungkin agen-agen Amerika dengan mudah dapat asses dan mengesani lokasi persembunyian Osama. Pasti mereka-mereka di sekeliling atau hampir dengan beliau yang membocorkan atau membekalkan rahsia kedudukan Osama kepada Amerika. Pastinya mereka sanggup melakukan pengkhianatan ini bukan kerana perbedaan pandangan, tapi tamak haloba dan cinta dunia. Lalu sanggup mengkhianati perjuangan demi untuk mengisi perut yang loba.

Justeru Sang Anwar Ibrahim perlu berhati-hati, sudah terlalu ramai kawan-kawan perjuanganya sanggup menikam belakang demi hanya sekupang dua habuan dunia kerana penat dalam perjuangan partisan, hidup dalam ketakutan dan tekanan. Apalagi bila ada keluarga yang merintih dan keluh kesah kononnya sengsara.

Sang Anwar berkemungkinan akan keseorangan dan akhirnya tumbang kerana tiada lagi siapa-siapa yang sanggup berdepan dengan perjuangan. Manusia berjuang adalah manusia pilihan tuhan.

Ini berlaku kepada Diponegoro, Imam Bonjol dan Imam Syamil. Kesemuanya tewas bukan di tangan kekuatan musuh, tapi tersungkur kerana helah pengkhianatan rakan seperjuangan.

Thursday, November 04, 2010

Untuk sekian kalinya menyaksikan dan menelan buah pahit dari sebuah sistem yang karut, sangat memualkan dan mengecewakan. Sistem yang dicacimaki oleh Socrates ribuan tahun dahulu. Yakni demokrasi. Demokrasi adalah ruang yang memberi peluang si bodoh menjadi pemimpin kepada sebuah masyarakat. Begitu Socrates mencela demokrasi di tengah-tengah tamaddun Yunani di zaman dulu kala.
Ternyata hari ini demokrasi di tanah warisan bonda ini menyaksikan pesta kebodohan di mana-mana dengan pelbagai aplikasinya. Gelanggang yang persis rimba ini telah melahirkan beribu-ribu pemimpin bodoh, yang kerjanya membodohkan rakyat kecil, rakyat marhaen, rakyat proletar, rakyat agrarian dan rakyat terkucil.
Gelanggang yang persis rimbaraya ini juga telah melahirkan tirani-tirani, bargouis yang mencekik rakyat, kapitalis yang menghisap darah rakyat, aristokrat yang immoral, ulamak yang menjual ilmunya, rakyat yang gilakan dunia dan poya-poya serta media yang gila bahasa.
Semua kebobrokan dan keruntuhan ini lahir dari sebuah demokrasi yang dipaksakan dan tiada siapa yang berani mementang raksaksa keramat ini. Hatta sebuah gerakan islam juga memilih medan ini untuk mencapai cita-cita lohornya.
Meski padang yang penuh kerikil ini, tidak menjanjikan wasit yang adil, sama rata dan saksama, pejuang Islam melalui perlawanan ini dengan penuh kelukaan, penderitaan dan kesakitan sekian lama. Mereka tabah, mereka berjiwa besar, mereka tangguh mengharunginya selagi hayat masih ada. Apakah kekuatan itu dibekalkan Allah kepada tenteranya, kerana kepimpinan ulamak!.
Percayalah, bahawa kemenangan dalam perlawanan ini bukan segala-galanya. Kekalahan bukan bererti kesalahan. Semuanya berjalan mengikut aturan tuhan, hatta setiap denyutan jantung anda pun mengikut ketentuan tuhan.
Abdulrahman Al Aus mengatakan " Aku pernah mendengar Rasulullah SAW mengatakan ' agama ini akan tetap unggul dalam menghadapi siapa pun yang menentangnya, sehingga Islam dan pengikutnya benar-benar mendapat kemenangan'." Ungkapan ini lahir ditengah-tengah pemimpin Islamberbincang untuk menentang kuasa besar dunia, Rom!.
Apakah demokrasi yang hina ini menjanjikan kemenangan total buat pejuang Islam dalam meraih kekuasaan, tuhan akan menentukannya. Asalkan anda bernafas panjang.

Sunday, October 31, 2010

Penjejak Badai

Penjejak Badai
Bila usia beranjak setengah abad ini, aku selalu merasakan bahawa kehidupan ini sangat sementara. Banyak perkara yang gagal untuk disudahi. Semuanya kelihatan tidak akan mencapai kesempurnaan. Lalu bingkisan apa yang wajar untuk aku persembahkan kepada tuhan yang menggenggam jiwa ini, di hari pembalasan nanti. Aku masih tidak punya apa-apa. Sedangkan sisa masa yang ada entah beberapa detik lagi atau kapan.

Tuhan, aku memang bersalah, aku memang naif, aku memang kalah.

Hanya pahlawan yang bisa menundukkan kuda liar dalam setiap dada manusia. Dan aku adalah salah satu manusia yang selalu ditewaskan oleh kuda berangas ini. Apa lagi makhluk yang bernama syaitan, musuh Allah tidak pernah bosan menyelinap dan mengalir dalam kujur tubuh badan manusia dengan misi kesesatan bersama.

Tanpa kekuatan dari tuhan, kita tidak bisa keluar dari kesesatan dan kegelapan syaitan ini. Pastinya solat yang tidak kusyuk itu adalah ulah syaitan yang nekad mencari teman ke neraka Allah.

Benarlah ada abid mengatakan ia memerlukan puluhan tahun untuk kusyuk dalam solat.
Marilah bersama kita pohon dengan belas kasihan dan penghambaan kepada Allah, agar kita dibenahi dengan kekuatan dan petunjuk dalam perjalanan yang semakin getir ini.

ampunkan aku Ya Allah, di atas segala kesalahan ku.

Sunday, September 26, 2010

Adalah sesuatu yang sangat merbahaya apabila merasakan diri kita lebih suci atau kudus dari sesiapa yang kita ketemui dan sesiapa itu kelihatannya bebal, bejat akhlaknya, bermaksiat dan persis ahli mungkar. Virus kesombongan bisa menyelinap dan bersarang dalam jiwa kita. Justeru kita menjadi lupa bahawa apa saja yang mampu kita lakukan dan apa saja yang tidak mampu kita lakukan adalah kekuasaan dan kekuatan Allah semata-mata.
Kalau kita mampu solat, mampu berzikir, mampu membaca quran, mampu berdakwah hatta mampu menyedarkan orang lain, semuanya adalah kemampuan dan kekuatan Allah yang maha perkasa, maha mengetahui. Kita tidak mampu berbuat apa-apa pun. Semua itu adalah nikmat Allah yang wajib kita sedari dan syukuri.
Kalau kita terhalang atau tidak melakukan sebarang kemaksiatan dan kemungkaran yang berleluasa di sekeliling kita, bukan bererti kita adalah manusia suci yang punya kekebalan iman yang kukuh. Tapi kekebalan itu adalah kekebalan Allah yang dianugerah kepada kita sebagai kurniaan nikmatnya. Dan kita wajib bersyukur kerana Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang memilih kita untuk tidak jatuh ke lembah kehinaan itu.
Dan bersyukur itu ialah melakukan apa saja yang diperintah Allah dan tinggalkan apa saja yang dilarang Allah.